Mabuk Laut

Imbang Penuh

BIASANYA, kita kurang berminat untuk memberi pertolongan kepada rakan pancing yang muntah-muntah dalam bot ketika keluar memancing. Alasannya kerana bimbang kita pun turut sama akan muntah. Sepatutnya menjadi tanggungjawab anda untuk memberi rawatan kepada mereka yang menghadapi situasi berkenaan. Sekurang-kurangnya mengurut tengkuk mangsa supaya muntah keluar lebih lancar supaya lebih cepat lega. Rakan yang muntah sudah tentu tidak berdaya untuk bangun atau bergerak jika keadaan berlarutan. Langkah pertama, anda harus membantu mereka supaya duduk bersandar dan memicit bahagian tengkuk serta pangkal telinga dengan perlahan-lahan. Mangsa muntah perlu diberi minum air suam dengan banyak bagi mengelak daripada kering mulut dan perut. Malah jika perlu bancuh air gula bercampur garam bagi menggantikan cecair badannya yang sudah habis keluar bersama muntah. Jika ini dilakukan, mangsa akan lebih cepat segar. Dengan apa cara sekali pun perut mesti diisi. Ini kerana selepas menerima minuman atau makanan ringan, mangsa akan muntah semula. Anda jangan panik kerana ini satu cara rawatan yang perlu lakukan. Rakan yang muntah perlu direhatkan daripada sebarang aktiviti memancing demi untuk memulihkan kesihatan dan kesegaran tubuhnya. Namun dalam apa jua keadaan, mangsa muntah perlu dikawal kerana ketika memancing dalam bot, kemudahan rawatan adalah terhad. Justeru, anda adalah jururawat dan anda juga doktor ketika itu. Langkah terbaik, rehatkan mangsa muntah dalam keadaan separuh berbaring di luar kabin atau di tempat terbuka. Kalau boleh di belakang bot. Ini untuk mendapat udara laut yang segar. Tetapi ingat, pastikan mangsa tidak menyedut asap enjin kerana boleh memburukkan keadaan. Mangsa muntah jangan diganggu. Benarkan mereka tidur terus sehingga terjaga sendiri. Insya-Allah mereka yang terbabit itu akan beransur pulih dan dapat meneruskan aktiviti memancing. Tetapi anda tidak perlu memaksa diri mereka untuk melawan pening dan muntah selepas baru pulih.

MASIH banyak petua atau amalan yang perlu dilakukan oleh pemancing terutama kepada pemancing laut dalam yang sering menghadapi mabuk atau mual tekak ketika ekspedisi.

Pandangan beberapa veteran nelayan boleh diberi perhatian mengenai masalah ini. Mual atau mabuk laut berlaku sejak dulu lagi dan pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya. Hasilnya, pelbagai cara dan kaedah dilakukan bagi mengekang musibah itu yang pasti akan membantutkan keseronokan dan pemburuan. Namun paling mudah dan berkesan ialah dengan membawa makanan ringan seperti buah-buahan atau gula-gula yang tidak keterlaluan masamnya.

Gula-gula yang ada rasa masam biarkan sentiasa berada dalam mulut untuk mengelak tekak tidak kering. Cengkih juga dapat membantu sebagai langkah ikhtiar mencegah daripada menghadapi mabuk atau mual serta tekak kering.

Pernah berlaku dalam beberapa aktiviti memancing laut dalam, keadaan cuaca panas terik mengakibatkan beberapa kaki pancing diserang mabuk, mual-mual dan tekak kering. Walaupun mereka sudah meneguk beberapa botol air tetapi keadaan masih berada pada tahap yang sama. Namun setelah diberi cengkih untuk beberapa ketika, keadaan mabuk dan kering tekak dapat dipulihkan.

Kemudian anda perlu mengelak daripada terus mendedahkan diri di bawah bahang panas matahari dalam tempoh yang lama.

Buah-buahan masam ubat mabuk laut

Faktor lain yang perlu diambil kira ialah memakan buah-buahan masam yang mengandungi banyak air supaya badan sentiasa berada dalam keadaan lembap dan berair selain daripada berpeluh.

Pada masa sama, anda perlu mengambil tindakan ketika berada di laut untuk mengelak daripada terus mabuk dan muntah.

Antara petua terbaik demi menjaga keselamatan, anda dinasihatkan tidak membongkok di bibir bot dengan menghulurkan kepala keluar ketika melepaskan muntah. Perbuatan ini sangat berbahaya kerana risiko anda boleh terhumban ke laut sangat besar dalam keadaan kawalan diri anda yang sudah tidak menentu atau tidak seimbang itu.

Namun dalam apa juga keadaan, kerjasama daripada semua pemancing dalam bot mesti dilakukan bagi bertindak sebagai sebuah pasukan.

No comments:

Post a Comment