Ikan Pari
Tempat yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi manda kurang didiami pari. Pari adalah spesies ikan yang tidak gemar bertembung dengan manusia. Keriuhan orang ramai yang bermain pantai memberi impak kehadiran pari kecuali pantai berkenaan memiliki tarikan yang kuat untuk ikan pari datang bermain di pesisir. Pantainya adalah jenis pasir dan turut bercampur lumpur. Bagi ikan pari kawasan begini adalah sebahagian dari tempat tumpuan mencari sumber makanan.
Pari yang menghampiri kawasan pantai mempunyai satu tujuan iaitu mencari makanan. Kawasan pantai diketahui terdapat beberapa spesies yang berada dalam senarai diet pari iaitu anak ikan bebolos, belacak, gelama, selar, bilis, beliak mata, kasai, tamban dan sebagainya terutama yang sisiknya tidak berduri.
Selain itu sumber makanan pantai bagi ikan pari ialah udang, sotong kurita, perumpun dan anak ketam. Memandangkan kawasan pantai turut menjadi tumpuan anak ikan bermain dan mencari makanan, penggunaan umpan yang betul dapat menjamin kejayaan. Kalau menggunakan umpan hirisan ikan mati umpamanya, ia mudah hancur dan habis dikerjakan ikan kecil termasuk ketam sebelum dijumpai pari. Apabila pari menjumpai umpan yang sudah hancur ia tidak berminat dengan umpan berkenaan.
Disarankan pemancing menggunakan umpan hidup yang kurang diganggu getuan ikan kecil seperti anak bebolos, anak belacak atau jajang (sejenis belacak panjang mendiami muara air payau), anak gelama, udang hidup sederhana besar.
Yang penting umpan yang digunakan kurang digetu ikan lain. Waktu malam lebih baik kerana ikan pari akan menghampiri pesisir pantai waktu malam. Rumusannya, masa terbaik adalah ketika air pasang penuh pada sebelah malam.
No comments:
Post a Comment